Rabu, 12 Disember 2012

Yang Pergi Tidak Akan Kembali

Baru-baru ini, selepas saya menulis post berkaitan kematian, saya terus membaca buku. Tapi pelik jugak kenapa buku yang berbentuk motivasi ini asyik cerita mengenai kematian juga. Rupa-rupanya Allah nak memberi tanda bahawa keluarga saya bakal diuji. 

Sebaik sahaja tamat kelas Tasmik Quran, saya baru melihat telefon. Biasa saya akan silent. Saya tengok banyak miskol selepas itu ada satu message. Tersentak jugak. Dapat berita Abang Ipar saya telah dijemput menemui Ilahi. Allahh....Terkejut. Setahu saya beliau sihat... Tak tahu nak buat apa. Dalam fikiran saya ketika itu bagaimana dengan akak saya? Bagaimana dengan anak buah saya?...Dapat kol dari abang, untuk menjemput saya pulang. Tiba di rumah, saya terserempak dengan anak buah saya yang berumur 6 tahun sedang bermain. Sebak rasa hati. Anak buah saya itu pasti tahu ayahnya dah meninggal tetapi belum merasai lagi kehilangannya. Saya dapat memahami perasaannya ketika itu kerana saya juga pernah merasakannya saat abah saya meninggal dunia. Ketika itu umur saya 7 tahun dan adik bongsu saya berumur 5 tahun. Saya masih ingat, saya melihat bagaimana jemaah-jemaah yang datang menguruskan abah saya yang juga meninggal mengejut. Ketika itu saya tahu saya dah takde abah. Bila melihat ahli keluarga menangis, saya pun terus ke bilik sebab sedih. Saya sorok-sorok menangis. Malu nangis depan orang. Bila habis nangis, saya terus senyum je jumpa orang. Malas nak sedih dah. Saya malas nak layan rasa sedih. Sebenarnya saya masih tak merasai erti kehilangan. Selepas beberapa lama abah meninggal, saya tetap rasa biasa. Sampai satu hari, bapa saudara saya datang ziarah. Waktu tu bapa saudara saya duduk sebelah saya lalu memeluk bahu dan membelai saya. Waktu tu tiba-tiba hati saya rasa sebak..'Owh, macam ni rasa ada ayah' dan tiba-tiba saya teringat pelukan abah saya. Terus saya masuk rumah dan terus menangis. Sorok-sorok lagi sebab malu nangis depan orang..hehe. Betullah abang saya cakap, antara nikmat yang besar adalah dapat membesar disisi ayah. Sebab kami membesar tanpa ayah. Jadi hargailah IbuBapa kamu ye...huhu

Jenazah abang ipar habis diuruskan dan ditanam malam itu juga. Kira-kira antara jam 12 malam sehingga 1 pagi. Kerana jenazah dibawa dari Johor dan ditanam di Negeri Sembilan. Ya, Mati tidak mengenal usia. Dalam usia 40 tahun, allahyarham telah menyahut seruan Ilahi. Ketika itu difikiran saya hanya Mati. Rasa takut pulak. Mungkin disebabkan saya tidak dapat menangis, saya terus demam. Kene badi mayat kot sebab habis urusan jenazah saya terus tidur tanpa wudhuk. Wallahua'lam.

Mak menangis. Semakin mak meningkat usia mak semakin mudah menangis. Kalau dulu nak tengok mak nangis pun susah. Menantu tetap adalah anak dan mahram sehingga mati. Hilang menantu macam hilang anak jugak, kata mak. Ya, saya sayangkan abang ipar saya. Selepas abah meninggal pada bulan tiga, abang ipar saya ini mengahwini kakak saya pada hujung tahun yang sama. Boleh dikatakan hidup dengan beliau lebih lama dari bersama abah. Kira-kira 16 tahun. Alhamdulillah, disaat keluarga saya dalam kesusahan selepas kematian abah, keluarga abang ipar saya ini selalu membantu. Mak cakap, boleh dikatakan setiap kali sarapan pagi, ayah abang ipar saya akan kirimkan roti canai untuk sarapan. Bila nak mulakan persekolahan, ayah abang ipar saya akan hulurkan sedikit duit kepada mak saya 'Nah untuk belanja anak sekolah'. Allah, betapa mulianya hati. Betullah kata-kata orang tua, nak mengenal saudara ketika kita susah. Semoga Allah merahmati keluarga Allahyarham..

Bila orang bertanya kepada saya, apa perasaan tiada ayah? Saya hanya mampu menjawab, saya rasa sedih dengan orang yang tidak hargai mak dan ayah. Susah? Ya, selepas kematian abah, memang keluarga teruji dengan kewangan. Allah menarik sedikit nikmat kesenangan. Ketika itu kesepuluh adik beradik saya masih belajar dan abang sulung saya masih menuntut ilmu di Jordan. Apabila abang saya nak berhenti belajar, mak tak bagi. Mak suruh belajar jugak. Alhamdulillah, walaupun macam-macam ujian menimpa, di tohmah, difitnah, apabila hak kami tidak diadili, mak tetap bersabar untuk membesarkan kami. Saya ingat masa kecik saya menjual di pasar tani, jual buah di bus-stop, jual kek dan nasi goreng di sekolah, kakak saya jual nasi lemak di sekolah dan boleh katakan kami adik beradik yang masih bersekolah menengah dan rendah tolong mak menjual kuih muih. Kakak-kakak dan abang yang berada di universiti pula terpaksa berjimat cermat menggunakan duit pinjaman. Tetapi saya taklah rasa sedih pun, rasa seronok sebab ada pengalaman. Kadang-kadang saya, adik dan abang saya akan bergilir membantu wan-wan yang menjual di pasar tani. Upah kerja tu mak kata itu duit belanja dan kadang-kadang mak ambil utuk di simpan dalam bank. Masa kecik-kecik dulu kadang-kadang sedih jugak sebab tak dapat berbelanja macam orang lain. Bila nak beli mainan ke apa-apa ke, mesti mak tak bagi. Mak kata mak tak cukup duit dan mak suruh berjimat. Tapi yang saya perasan, kalau minta untuk belajar mak terus beli. Kalau takde duit mak akan cari macam-macam jalan untuk dapatkan duit. Teringat masa kakak saya kene operate hidung, mak saya menjual lori peninggalan abah. Hasil jualan tu mak bayar kos rawatan pembedahan dan kebetulan kakak saya dapat masuk U, mak gunakan duit itu untuk bayar yuran pendaftaran. Baki daripada duit tu, mak agih-agihkan untuk kami yang masih belajar.

Antara pengajaran yang saya dapat selepas ketiadaan abah, 1) Langsaikan hutang si mati. Kebetulan sebelum abah meninggal, abah tunjuk buku hutangnya kat akak. Jadi mak terus langsaikan hutang abah. Kalau tidak selesai hutang, kesian jenazah didalam kubur. Itu sebabnya didalam Al-Quran pun ada diajar untuk menulis hutang. Takut hak orang lain tidak selesai. Jadi pastikan jika ada hutang, kita tulis tau. 2) Mencari pasangan yang faham agama. Ramai yang ada ilmu agama, tetapi tidak ramai yang faham dan ingat. Walaupun mak tak sekolah agama, tetapi mak dulu rajin dengar ceramah. Daripada ceramah, mak belajar berkenaan hutang simati, pengurusan harta anak yatim, cara mendidik anak, kepentingan ilmu dan sebagainya. Walaupun saya belajar agama, tapi saya tidak dapat memahami sepenuhnya sehingga saya melihat amalinya melalui mak. 3) Kepentingan Ilmu. Mak tak bagi abang berhenti belajar. Kerana duit tidak memberi ilmu, tetapi dengan ilmu kita boleh mendapatkan duit. Jika orang tu kaya raya pun, tapi jika dia tiada ilmu, lambat laun duitnya akan habis juga disebabkan kebodohannya. Dengan ilmu, kita akan tahu batas-batas dalam mencari duit. Carilah duit yang halal dan berkat. Saya melihat walaupun kami susah mecari duit tetapi keberkatan itu membuatkan kami rasa cukup dan Alhamdulillah dapat menghabiskan pengajian dengan sebaiknya. Tinggal yang bongsu je lagi. Mudah-mudahan dipermudahkan. Begitulah pentingnya mencari rezeki yang halal dan berkat walaupun susah untuk memperolehinya tetapi ia kekal dan membuahkan hasil berbanding rezeki yang tidak halal dan tidak berkat, walaupun melimpah ruah tetapi masih tidak berasa cukup. Teringat saya satu kata-kata dalam sebuah buku, kaya itu apa?  Apabila berasa cukup dan tidak memerlukan apa-apa.

 4) Syukur dan redha. Segala yang ditetukan oleh Allah tidak sia-sia. pasti ada hikmahnya walaupun takdir itu pahit untuk ditelan tetapi yakinlah, jika kita redha Allah akan membalasnya dengan yang lebih baik. Sesungguhnya perancangan Allah adalah sebaik-baik rancangan. Kita hanya pelakon dipentas dunia kerana trofinya bakal diperoleh di akhirat kelak. 5) Jangan berputus asa. Jika ditimpa apa-apa musibah jangan menyalahkan takdir tetapi cari jalan penyelesaian. Mak pernah cerita, lepas abah meninggal mak banyak termenung. Mungkin masih berasa terkejut dengan kematian abah yang mengejut dan mak masih terbayang ketika abah sakarat kerana abah meninggal di pangkuan mak. Kepala rasa buntu. Lepas tu atuk telefon, nasihat mak " jangan duduk termenung je, cuba bawak mengaji ". Mak pun terus mengaji dan selepas seminggu mak qatam. Selepas itu mak berasa kekuatan, seolah-olah beroleh jalan keluar. Hati jadi tenang. Baru mak dapat berfikir dengan baik. Jadi apabila ditimpa apa-apa ujian, mengadulah kepada Allah. Kepada Allah kita luahkan perasaan. Jadikan manusia tempat kedua selepas Allah. Apabila kita dekat dengan Allah, kita akan kuat dalam menempuh dugaan. Yang pergi tetap akan pergi, yang tinggal perlu teruskan hidup. Yang meninggal hanya inginkan doa pahala yang berterusan. Maka yang masih hidup, teruskan berbakti untuk diri dan manfaat orang lain.

Kenapa saya ceritakan semua ini? Kerana saya tahu ramai dikalangan pembaca yang ada mengalami nasib yang sama malah ada yang lebih hebat dugaan hidup. Saya pernah mendengar kisah seorang nenek yang diuji dengan cucu-cucu yang menjadi pelacur, menghisap dadah. Ada kisah anak dan isteri yang didera, kisah isteri menunduk suami, kisah ibu kematian anak, kisah orang yang sakit bertahun-tahun, dan sebagainya. Nauzubillah... Allah, kuatnya hati-hati yang ditimpa ujian tersebut. Sesungguhnya setiap dugaan yang kita hadapi ada hikmahnya. Hikmah nya perlu kita cari. Jika kita membiarkan dan menyalahkan segala dugaan yang kita hadapi, kita bimbang jika kita akan berasa putus asa dengan Tuhan. Bimbang jika kita bersangka buruk dengan Allah. Walaupun saya tahu dugaan yang menimpa mereka terlalu dasyat, tetapi sebagai menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah, kita perlu saling ingat mengingati. Kerana setiap orang Muslim itu bersaudara..Uhibbukum Fillah..Aku Cintakan Kamu Kerana Allah.

Oleh itu pesanan untuk diri saya khususnya dan untuk pembaca sekalian, belajarlah untuk menjadi sabar dan belajarlah untuk redha dengan segala ketentuan. Mintalah kekuatan kepada Allah dalam mengharungi segala ujian. Semoga kita mendapat sebaik-baik balasan daripada Allah di akhirat kelak. Sekian segala yang kurang adalah kelemahan saya sendiri. Semoga entry kali ini dapat memberi sedikit pesanan dan rasa muhasabah dikalangan pembaca. Semoga kebaikan yang kita lakukan didunia ini menjadi saham kebajikan di akhirat kelak. Tiada apa yang boleh dibawa ketika mati kelak, kecuali amal kebaikan kita. Maka bersedialah dari sekarang untuk menyemai benih kebaikan didunia agar kita dapat menuai hasilnya diakhirat kelak. Oleh itu pasakkan dihati, "Jangan Takut Mati Tetapi Bersedialah untuk Mati kerana Mati itu Pasti"..Ya Allah matikanlah kami sebaik-baik kematian. aminnn....

2 ulasan:

hidayah berkata...

perkongsian yang baik, teruskan menulis untuk ummah.^_^

ADIB berkata...

Syukran hidayah..doakn saya istiqamah.Semoga awak pun istiqamah dalam berdakwah..:-)