Ahad, 13 Februari 2011

Budi Bahasa..dan Tanggungjawab Kita


Petang tadi temankan Kak Lang balik ke rumah dia..Tolong jagakan anak dia sebab Kak Lang nak drive. Cadangnya lepas ke rumah Kak Lang hendak ke Melaka. Nak ambil letop Bang Tam dekat sedara. Tapi tak jadi. Sebab abang sedara tu takde di rumah. So balik lah rumah. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya, mak, Bang Tam dan wife die berhenti lah makan di satu kedai makan. Sedap makanan disini. Kalau lalu mesti rasa nak singgah.

Sebelum makan, saya dan kakak ipar pergi ke tandas awam yang disediakan. Ada satu benda yang menarik perhatian saya dihadapan tandas awam tersebut. Biasalah, memang ada peringatan-peringatan untuk penggunanya. Jaga kebersihan. Tetapi buat pertama kali saya lihat (mungkin orang lain dah banyak kali jumpa) peringatan yang agak keras jugaklah. Bunyinya begini "Hanya Anjing Dan Babi Sahaja Yang Tidak Kenal Tong Sampah'.

Wah! Dasyat jugak sindirannya. Terbayang di fikiran betapa marahnya penulis tersebut kepada pengguna-pengguna yang tidak bertanggungjawab. Ya, penulis tersebut mungkin terlalu marah. Marah dengan sikap pengotor pengguna. Pengguna yang membuang sampah merata-rata. Segala jenis sampah dan kekotoranlah. Dibuang bukan pada tempatnya.

Tetapi bagi saya, bagaimana terlalu marah pun kita, cubalah kawal. Janganlah menggunakan bahasa yang agak keras. Budi bahasa itu budaya kita. Ia menjadi tontonan umum. Bukan golongan dewasa sahaja menggunakan tandas tersebut tetapi semua golongan. Golongan tua, muda, kanak-kanak. Kita tidak mahu penggunaan bahasa sebegini di aplikasikan oleh mereka yang membacanya. Lebih-lebih lagi kanak-kanak. Jika kita lihat, filem-filem Melayu pun banyak yang menggunakan bahasa-bahasa kesat.

Kanak-kanak yang bagai kain putih ini, mudah sangat terpengaruh. Terlalu cepat melekat di kepala. Teringat saya kata-kata seorang penceramah, benda jahat ni mudah betul dipelajari dan di aplikasikan. Sekali ajar je, senang je dapat. Tetapi kalau benda baik ni, ajar banyak kali pun, bukan setakat diamalkan, nak ingat pun susah. Kenapa ye? Kerana perkara yang jahat, adalah sesuatu yang disukai nafsu. Kalau dah suka, apa-apa pun kita sanggup nak buat agar tercapai apa yang kita inginkan. Tetapi perkara baik ini, terlalu banyak yang menghalang. Nafsu, syaitan, manusia bertopengkan syaitan. Terlalu banyak musuh. Maka memang hebatlah mereka yang dapat menempuhi halangan-halangan tersebut.

Berbalik kepada cerita tadi, saya tidak menyalahkan penulis itu sahaja, tetapi juga kepada pengguna-pengguna terutama yang beragama Islam. Islam itukan sukakan kebersihan. Kadang-kadang rasa sedih jugak bila melihat tandas-tandas surau atau masjid yang kotor. Memanglah tandas tempat kotor, tetapi janganlah kita pun jadi pengotor dan menambah kekotorannya. Kadang-kadang timbul perasaan risau apabila mengenangkan jika ada orang bukan Islam yang menggunakan tandas-tandas Surau atau Masjid. Bimbang jika mereka menganggap orang Islam ini pengotor. Tempat ibadat pun boleh kotor.

Jadi marilah kita bersama-sama meringankan tulang dan memperingatkan antara satu sama lain. Saya teringat kata-kata seorang Mak cik,' jika kita berasa kita ini hebat, pergilah cuci tempat yang kotor seperti tandas. Kemudian kamu akan tahu betapa rendahnya diri kamu.' Kenapa boleh rasa macam tu ye? Nak tahu? Pergilah cuci tandas..hehe..Minta maaf andai terkasar bahasa. Mari kita tingkatkan budi bahasa kita, dan kita perindahkan lagi akhlak kita. Sesungguhnya kita ini mudah lupa, jadi marilah kita saling ingat-mengingati..Semoga kita menjadi seorang Hamba Allah yang pembersih, bukan setakat bersih badan, pakaian dan persekitaran sahaja tetapi yang paling utama adalah kebersihan hati kita..Sekian...



Khamis, 10 Februari 2011

Tahniah Rakyat Mesir..




Alhamdulillah..tidak dapat digambarkan betapa gembiranya hati ini apabila diumumkan perletakan jawatan Perdana Menteri Mesir Husni Mubarak...Tidak dapat saya bayangkan bagaimana gembiranya rakyat Mesir dengan berita tersebut..SubhanAllah..Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha Penyayang..

Tahniah rakyat Mesir..Kalian menjadi sumber inspirasi buat kami..Yang Benar pasti akan menang..Walaupun hanya setahun lebih saya tinggal di Mesir, tetapi terlalu banyak perkara yang membuatkan hati ini sayu dan kagum dengan kehidupan di Mesir..Berasa sayu apabila melihat kemiskinan mereka, peminta sedeqah yang terlalu ramai. Sedangkan pemimpin mereka merupakan Manusia terkaya di dunia. Siapa yang tidak tersentuh apabila melihat anak-anak kecil berkejar-kejaran untuk meminta sesuatu untuk mengalas perut.. Ya Allah..

Walaupun sering kedengaran cerita berkaitan keganasan kalian, kekasaran tingkah laku kalian, cerita-cerita buruk berkenaan kalian, tetapi yang sering ku dengar dari kalian hanya memuji dan kagum dengan pelajar-pelajar kami. Di dalam kekasaran warga Mesir, tetapi hati mereka lembut. Bila bergaduh bagai tak sedar diri, tetapi sifat mudah memaafkan sangat tebal dalam diri mereka. Apabila berbaik melebihi saudara sendiri. Siapakah yang tidak kagum dengan kegagahan kalian. Samada lelaki mahupun perempuan. Tidak salah jika saya mengatakan kekuatan kaum wanita Mesir seperti kekuatan kaum lelaki kita. Walaupun hidup mereka terlalu banyak kekurangan, tetapi mereka tidak pernah mempamerkan keresahan mereka.

Walaupun ramai yang sering mengatakan Mesir kotor dengan sampah sarap, najis-najis khimar, ish yang terbiar di koridor jalan, tetapi yang paling penting makanan mereka terpelihara kesuciannya daripada tempat yang bersih, makanan yang nampak bersih tetapi isi kandungannya dipenuhi kandungan-kandungan yang haram dan terlalu banyak yang syubhah.

Setelah 30 tahun ditindas, Alhamdulillah akhirnya rakyat Mesir bersatu. Tahrir menjadi saksi kesatuan mereka.'TAHRIR bermaksud 'pembebasan'.di situ segala-galanya bermula. Membebaskan segala kesabaran yang sekian lama ditahan seterusnya membentuk pembebasan rakyat dari gelap kezaliman.' ketika rusuhan dan diumumkan perintah berkurung, saya terbayang kehidupan rakyat Palestin. Hidup dalam penindasan dan kezaliman Zionis Israel.

Berasa agak terkilan juga kerana tidak dapat menyertai demontrasi mereka. Berasa bersalah juga, ketika mereka sedang menuntut keadilan, kita lari menyelamatkan diri, Saya berasa seperti seorang yang mementingkan diri sendiri. Tetapi perjuangan kami di sini. Hanya doa menjadi pengganti kami. Allah sebaik-baik perancang. Rakyat Mesir telah mempamerkan bagaimana kehidupan para sahabat ketika berjuang menegakkan Islam dan kebenaran. Bukan harta, pakaian, senjata yang menjadi penentu kejayaan, tetapi ketaqwaan, keimanan dan keyakinan bahawa kebenaran pasti akan menang..

Bersama-samalah kita berdoa..Saya tertarik untuk berkongsi kata-kata Ustaz AzmanSyah, "TIDAK PERLULAH LISAN MENCELA MUBARAK LEBIH DARI YANG HAK.SERAHKAN PADA ALLAH TENTANG URUSANNYA. JADILAH MANUSIA YANG ADIL.KITA DOAKAN AGAR DIA MENDAPAT PETUNJUK DAN KEBAIKAN.BEGITU JUGA KEBAIKAN UNTUK MESIR DAN SELURUH RAKYATNYA.PERLETAKAN JAWATANNYA BUKAN JAMINAN MUTLAK UNTUK KEAMANAN.MAKA PANJATKAN DOA."

Terima kasih kepada yang pernah membantu diriku..Terima Kasih kepada yang mengambil berat tentang diriku..Terima kasih kepada yang menjaga diriku. Terima kasih kepada yang sudi menjadikan diriku seperti keluarga ketika keluargaku jauh dari sampingku. Kehadiran kalian, mengubati rinduku kepada keluarga. kehadiran kalian, menceriakan hidupku. Kehadiran kalian, membangkitkan semangatku. kehadiran kalian, menjadi kenangan yang manis dalam hidupku. Uhibbukum Fillah..Semoga Allah menempatkan kalian di sebaik-baik tempat di akhirat kelak.Ya Allah ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapa ku, keluargaku, guru-guru ku, sahabat2ku, orang2 yang pernah ku zalimi, orang2 yang mendoakan diriku, orang2 yang menyayangi diruku, dan seluruh umat Islam..Sesungguhnya Engkau Ya Allah Maha Pengampun.