Khamis, 10 November 2011

Coretan Untuk Calon Isteriku..

Coretan Untuk Calon Isteriku..

Assalamualaikum..untukmu calon isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang dirangkai oleh hati ini di dalam kalbu..

Aku mulai tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mencari sebahagian diriku yang hilang

Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya..


Acap kali aku mendengar bahwa ungkapan “Kau Tercipta Untukku”

Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyyah

Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, kini aku mengerti bahwa pada satu hari nanti

Aku harus mengambil satu taggungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku…iaitu dirimu..


Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizik, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu..

Aku menginginkan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan ‘sempurna’ di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini..

Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu..

Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting..

Kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya..

Kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini..


Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz

Diriku diselubungi jubbah, digelar syeikh.

Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar da’i..

Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah..

Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku..

Baik yang indah berhijab atau yang ketat ber t-shirt, semuanya singgah di sisiku..

Aku risau imanku akan lemah,

Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini..

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Aku khuatir amalanku bukan sepenuhnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluk-Nya.

Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini.

Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga.

Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain..


Aku sukar mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau..

Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita..

Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku.

Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak standing dengan kesolehahan mu

Janji Allah pasti ku pegang dalam misi mencari dirimu..”Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik”


Jiwa remajaku ini mula meracau mencari cinta.

Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi.

Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu..

Disana engkau setia menunggu diriku, tetapi disini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana.

Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri..


Bukan harta, rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu,

Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita.

Saat di mana aku bakal melamarmu, akanku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita.

Tidak perlu alis mata seakaan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup Cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.


Kahwinilah isteri kerana empat perkara, keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.

Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya..

Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita.

Akan ku jadikan akad nikah itu, sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu.

Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin.

Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Dariku calon suamimu..


p/s:coretan ni di ambil dari internert..ayat best.saje nak kongsikan. Semoga kite berusaha memeperbaiki diri menjadi yang lebih baik dan mendapat pasangan yang soleh. Paling utama, kita dapat membentuk keluarga yang taat akan perintah Allah SWT dan sentiasa dilimpahi rahmat daripada-Nya. Sebelum terlupa, Selamat Hari Raya Haji..semoga jemaah Haji tahun ini, mendapat haji Mabrur...

Selasa, 18 Oktober 2011

Musim Sejuk...

Fatrah pertama musim sejuk telah tiba. Ada rumah yang dah mula guna lihaf (selimut tebal). Mungkin disebabkan kedudukan rumah tersebut yang begitu hampir dengan sungai Nil. Rumah penulis ni,masih terkawal lagi. Masih boleh lagi guna selimut nipis. Mungkin disebabkan kedudukan rumah penulis agak jauh sedikit dari sungai Nil dan terletak di tengah-tengah yang padat dengan imarah-imarah(bangunan) lain..

Apabila pertukaran musim ini, demam selsema pun bermula.. Mula-mula lihat kawan-kawan Mesir dan Melayu je yang demam. Cuba jugak jaga kesihatan, tapi akhirnya penulis pun demam selsema sekali. Alhamdulillah, mudah-mudahan kafarah dosa. Hampir 4 hari tidak pergi ke Maahad. Sedih jugak sebab jadual belajar terganggu, tapi redha itu lebih utama. Kena sihat betul-betul baru pergi Maahad. "Mukmin yang kuat lebih disukai Allah daripada Mukmin yang lemah" Alhamdulillah, hari ni badan terasa sedikit bertenaga. Tetapi tidak boleh terlalu aktif. Maka tak pergi Maahad. Sambil rehat-rehat di rumah, ok jugak tulis blog sebab dah lama tak update. Memaandangkan penulis sangat suka bercerita, kena menulis sahaja sebab takde pendengar yang nak mendengar.. Apa nak buat, kuat sangat bercakap sampai orang malas nak layan. Jadi sapa yang nak layan cerita penulis, silalah layan. Moga-moga apa yang baik dapat dimanfaatkan bersama, mana yang kurang,dengan hati terbuka, penulis mengalu-alukan sebarang teguran.

Sudah sebulan lebih tinggal di rumah baru..Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan Allah. Semoga penempatan baru ini adalah yang terbaik. Walaupun hasrat di hati ingin rumah di tingkat yang rendah, tetapi Allah tetapkan tinggal di rumah di tingkat yang paling tinggi..Antara hikmahnya dapat turunkan berat badan disebabkan berat badan yang bertambah selepas bulan puasa..hehe..

Adik-adik baru pun dah sampai. Dua orang. Atiq dan Masyit0h. Kedatangan mereka menyerikan lagi rumah baru ni. Allah memurahkan rezeki mereka apabila kakak-kakak Qiraat tahun akhir yang ingin pulang ke Malaysia meninggalkan barang-barang kepada mereka. Jimat duit. Tak perlu nak pening-pening kepala membeli barang-barang keperluan harian. Barakallahufik.

Pada 13 Oktober 2011, sebuah Majlis Anugerah Kecemerlangan diadakan di Abbasiyyah. Seronok. Majlis ini juga diadakan bagi meraikan pelajar-pelajar Negeri Sembilan yang telah tamat pengajian di Mesir ini. Terpamer kegembiraan di wajah mereka. Penulis tumpang gembira. Terbayang kegigihan mereka untuk berjaya. Tertarik saya dengan kata-kata Nadia,graduan dalam bidang Syariah, "Orang yang berjaya bukanlah orang yang pandai, tetapi orang yang berjaya adalah orang yang rajin"..dan juga kata-kata Naduan, graduan dalam bidang Takhassus Qiraat,"Jangan pernah menyerah kalah,pernah pun jangan apatah lagi menyerah kalah. Jangan kita cuba-cuba untuk menyerah"..Penulis termenung sejenak apabila mendengar kata-kata mereka.

Walaupun acap kali kita mendengar kata-kata ini, tetapi fitrah manusia yang sering lupa sentiasa memerlukan teguran dan ingatan. Benar kata mereka. Berapa ramai orang yang pandai namun gagal dalam pelajaran. Mungkin disebabkan berasa kagum dengan diri sendiri atau terhanyut dengan pujian sehingga ramai yang lupa diri. Sikap malas pun menjalar sedikit demi sedikit. Sehingga apabila hampir dengan musim peperiksaan, kelam kabut. Mula menyerah kalah. Apabila gagal, menyesal dan terus putus asa untuk usaha lagi. Alangkah bahayanya apabila sikap putus asa menjadi pegangan diri. Putus asa dari mengharapkan kebaikan daripada Allah. Maka terus mengerjakan perkara yang sia-sia dan mengundang kepada maksiat. Putus asa ke arah kebaikan adalah feel syaiton.Terus usaha dalam maksiat juga feel syaitan. Nauzubillah min zalik.

Maka mari kita bersama-sama meneruskan misi kita. Hidup kita perlu ada matlamat. Matlamat boleh dicapai melalui pelbagai wasilah. Tetapi wasilah yang kita lalui perlulah sentiasa bersandarkan pada AL-Quran dan As-Sunnah. Kadang-kala kita akan tersungkur di tengah perjalanan. Ketika tersungkur, pelbagai nikmat duniawi akan datang menjenguk ingin memberi bantuan. Bantuan inilah yang paling kita takuti, bantuan untuk mengaburkan jalan sehingga matlamat kabur dan hilang secara perlahan-lahan. Jadi bagaimana untuk menghindarinya? Bekalan paling utama adalah Iman. Keduanya Ilmu. Itulah sebabnya kita perlu belajar. Perjalanan hidup kita perlu dengan ilmu. Segala-galanya di dunia ini perlukan ilmu. Ilmu yang bagaimana? Ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi kita SAW melalui Al-Quran dan Hadithnya serta pewaris-pewaris Baginda..Siapa pewaris-pewaris Baginda?Ulamak...

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ

Ulama adalah pewaris para nabi.” (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu ‘anhu)

Ramai juga yang tersungkur di tengah perjalanan walaupun dibekalkan dengan iman dan ilmu..Kenapa ye? Iman ini boleh naik dan turun. Setiap perjalanan kita, pasti kita akan diuji. Ujian inilah mengukur tahap keimanan kita. Firman Allah SWT didalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud "Allah tidak memikulkan tanggungjawab kepada seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya". Jangan pernah sesekali menyerah kalah pada ujian. Apabila menyerah kalah, maka disebabkan itulah kita akan merasa putus asa pada Allah. Kenapa perlu diuji? Kerana syurga itu terlalu indah dan mahal untuk dimiliki. Alangkah beruntungnya orang-orang yang sabar dan tabah menghadapi setiap ujian.

Siapakah yang akan menyambut tangan ketika kita terjatuh di perjalanan?
Tangan yang ikhlas akan menyambutnya. Teman yang sejati. Teman yang akan sentiasa membimbing kita ke arah kebaikan. Teman yang akan selalu menegur dan membetulkan ketika kita melakukan kesilapan. Teman yang sentiasa bercakap benar walaupun pahit untuk kita telan. Teman yang akan sentiasa membuka minda dan hati kita. Teman yang setiap perlakuannya mengingatkan kita kepada Allah..Siapakah teman itu? Teman yang mempunyai matlamat yang sama dengan kita. Teman yang menjadi peneman dalam perjalanan menuju matlamat kerana Allah. Itulah teman atau dalam istilah lainnya jemaah. Itulah pentingnya kita berjemaah dalam melakukan kebaikan. Jika kita tidak dapat jumpa teman yang sebegitu, kita berusaha untuk menjadi teman yang mempunyai ciri-ciri itu. Memberi itu lebih baik dari mengaharapkan sesuatu daripada orang lain.

Setakat itu sahajalah entry kali ini. Jom kita belajar. Usaha-usaha jugak doa jangan lupa..minta maaf jika ada yang kurang..Jika ada sebarang tambahan atau teguran penulis mengalu-alukan..wsalam...=)

Rabu, 24 Ogos 2011

Allah Sebaik-baik Perancang...

Umrah. Ikut rezeki masing-masing..Jika diizinkan Allah, pada tarikh ini kaki ini telah bertapak di tanah suci tetapi takdir Allah telah menentukan belum masanya lagi.. Sedih? Tipulah jika kata tidak sedih. Semakin dekat dengan tarikh yang dirancang, semakin sedih hati ini. Apabila terdengar bacaan Quran oleh Syeikh Mishary, menitis air mata ini kerana teringatkan cerita seorang sahabat yang mengatakan berimamkan Imam Mishary ketika mengerjakan umrah pada bulan puasa yang lepas..Terasa indah suasana yang beliau lalui.. Suasana ibadah yang luar biasa. Tetapi ku pujuk hati ini untuk redha. Ya Allah berilah kekuatan..

Hati semakin berbunga apabila segala urusan hampir selesai. Walaupun sedikit gementar untuk ke Tanah Suci memandangkan diri yang banyak dosa. Segala urusan hampir selesai. Pembayaran untuk umrah, khusus umrah, penghantaran maklumat wali di Malaysia. Pasport pun dah terbang ke Malaysia. Hampir sebulan passport berada di Malaysia padahal empunya diri berada di Negara lain..hehe. Tarikh semakin dekat. Persediaan pakaian, kelengkapan diri dan kewangan telah hampir lengkap. Tetapi jika Allah mentakdirkan belum rezeki menjadi tetamu-Nya, maka begitulah yang akan terjadi. Hanya satu urusan sahaja yang tidak selesai. Maka dengan rasminya diumumkan tidak dapat ke sana..Ada diantara sahabat-sahabat saya yang menangis. Saya? Saya hanya mampu berdiam. Otak macam blur. Tak tahu nak buat apa. Sebelum ini sering terbayang suasana disana. Berbuka puasa dengan semua Jemaah yang berbilang bangsa. Menatap kaabah di depan mata. Melihat tempat-tempat sejarah Islam. Menziarahi Maqam Penghulu kita Nabi Muhammad SAW dan Para Sahabat r.anhum. Merasa suasana ketenangan disana sehingga mendatangkan keghairahan untuk beribadah..Tetapi ia sekadar gambaran di fikiran kerana Allah belum mengizinkan…Tetapi Alhamdulillah, Bulan Ramadhan ini pengubat hati..Limpahan rahmat Allah di dalam bulan ini menjadikan diri ini begitu teruja merebut peluang sehingga mengurangkan kesedihan yang ada. Ya Allah Ampunkan dosa kami…Redhailah kehidupan kami di dunia dan di akhirat…

Terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat-sahabat yang memberi kata semangat kepada saya. Saya agak malu apabila sahabat yang saya jarang bertanya khabarnya, sentiasa mengikuti perkembangan diri ini. Perancangan saya pergi umrah dan terbatalnya rancangan ini dapat diketahuinya tanpa saya tahu dari mana sumbernya sedangkan saya tidak memberitahu secara umum perancangan saya ini. Hanya beberapa orang yang terdekat sahaja yang mengetahui. Terima kasih. Terima kasih kerana sentiasa mengambil berat dan memberi kata-kata semangat kepada saya. Sebak rasa hati. Orang yang selalu kita bertanya khabar, tidak pun mengambil berat tentang diri ini, tetapi orang yang saya tidak pedulikan pula yang berlakuan sebaliknya. Eh,tak baik lah cakap macam tu. Teringat satu pesanan, apabila melakukan sesuatu kebaikan atau pertolongan kepada seseorang, jangan mengharap orang itu akan membalasnya. Lakukannya atas dasar tanggungjawab sebagai seorang muslim. Daripadanya kita akan dapat belajar erti ikhlas. Serta selalu yakin, setiap kebaikan yang dilakukan pasti ada ganjarannya daripada Allah SWT. Balasan kebaikan itu bukan daripada orang yang kita tolong sahaja, tetapi juga daripada orang lain. Ikhlaskan hati. Yang paling utama, kebaikan yang cuba kita lakukan, Allah redhai..Itu yang paling utama.

Minta maaf kepada kalian semua..Minta maaf?Sebab apa? Minta maaf tanpa mengetahui apa kesalahan yang kita lakukan dan dengan rasa ego agak tidak berbaloi. Tetapi jika mampu, Meminta maaflah dengan kerendahan hati dan mencuba mengetahui kelemahan diri. Meminta maaf dengan berniat untuk memperbaiki kelemahan diri agar ramai yang tidak kita zalimi lagi. Meminta maaf untuk mengaharapkan keredhaan orang yang kita zalimi. Meminta maaf dengan berniat tidak mengulangi perbuatan buruk kita lagi. Dan yang palinng utama meminta maaf untuk ketenangan dan mengharap Redha Ilahi. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali…Ya Allah..ampunkan dosa kami….

Selasa, 23 Ogos 2011

..(tak tahu nak tulis tajuk apa)..

Sunyi...tinggal sorang diri malam ni..teman serumah pergi tidur rumah kawan yg akan pulang Malaysia besok..seronoknya...Rasa nak je balik..Rindu kat mak...Mama angkat kat sini dah lah takde.Ingat nak raya rumah mama, tapi mama pergi umrah. Lepas raya baru balik..Nak ikut pergi umrah. Apa nak buat, rezeki belum ada lagi.. Jasad ni terlalu banyak dosa. Kena cuci bersih-bersih sebelum pergi ke Tanah Haram...Ya Allah, izinkan diriku menjejakkan kaki di Tanah Suci ini Ya Allah. Berilah kesempatan kepada diriku untuk menunaikan tanggungjawab ku sebagai hamba yang beragama Islam. Berilah kesempatan sebelum roh berpisah daripada badan...

Hari Raya ni, macam tak tahu nak buat apa..Kawan-kawan ramai yang tidak ada. Rayalah kami bertiga. Menangis? Tak tahulah. Dahlah. Buat apa nak fikir orang yang nak balik Malaysia. Baik sibukkan diri dengan hal-hal yang lebih penting. Penuhi masa dengan ZikrUllah. Ya Allah..berilah kekuatan....

RIndu? Memang rasa rindu. Lebih-lebih lagi apabila seorang demi seorang teman rapat pulang ke Malaysia..Rindu orang di Malaysia. Ingat tak orang kat sini? Biarlah...Kalau dia tak ingat pun tak apa. Berpisah dengan hal-hal dunia yang lagho..Yang penting Mak sentiasa ingat dekat saya...Sayang Mak..=)...Kalau sayang, kena ingat pesanan mak. Kena ikut nasihat-nasihat mak...Belajar sungguh-sungguh. Biar dapat keputusan yang memuaskan. Kuasai ilmu sebanyak-banyaknya..Masyarakat memerlukan kamu..Semoga ilmu yang diperoleh diberkati dan dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya...Amin Ya Rabbal3alamin...

Persiapan raya? Tak sepenuhnya. Baju raya pun tak ambil kat kedai lagi..Tengah pikir nak solat Raya dekat mana..Puasa tak habis lagi dah pikir Raya? hehe...Siapkan awal-awal. Sebab tak nak ganggu waktu 10 malam yang terakhir ni..Tapi tak dapat selesai semua pulak..Tetapi Alhamdulillah, Allah masih memberi saya nafas dan kekuatan untuk meraikan 10 malam yang terakhir ini..Semoga dipanjangkan umur sehingga Ramadhan yang akan datang..I love U Ramadhan....love love jugak..pengisian dalam bulan itu yang paling penting...Semoga Allah menerima segala amalanku dan mengampuni segala dosaku...

Ya Allah, terimalah amalan kami..Masukkanlah kami didalam golongan hamba-Mu yang beruntung..Ya Allah, ampunkan segala dosa kami. Peliharalah kami dari azab api neraka. Ya Allah, rahmatilah hidup kami. Masukkanlah kami ke dalam syurga dengan rahmat-Mu...Sesungguhnya kesudahan yang baik, adalah bagi orang-orang yang bertaqwa..Redhailah hidup kami Ya Allah...Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang... Amin Ya Rabbal 3Alamin...

Jumaat, 19 Ogos 2011

Simbah Asid-Hati-Hati..!!

Sedih bila baca cerita berkenaan mangsa-mangsa yang disimbah Asid..Kenapa lah zalim sangat. Permulaannya, kebanyakannya adalah perempuan Melayu, kini lelaki Melayu pun dah ramai yang kena...Muka yang dijadikan Allah dengan sempurna, dengan mudah dirosakkan oleh tangan makhluk yang tidak berhati perut..Sedih..Kesian...Kisah mangsa yang bernama Asri Abdullah sangat menyedihkan.memang menangis kalau tengok..:(..Diharapkan orang ramai berhati-hati..Sehingga kini hampir 23 kes yang berlaku..Kejadian di sekitar Ibu kota disyaki dilakukan oleh orang yang sama..ni lakaran muka dia..nk tgk detail sikit kt sini dan kat sini pun boleh..

Motif pun belum dapat diketahui..Mungkin sakit mental laki ni.. kerana kejadian melibatkan orang awam. Sehingga kanak-kanak kecil pun jadi mangsa..terbaru wanita cina di sabah telah disimbah asid..Hati-hati ye semua...Jaga keselamatan diri dan keluarga..Sekarang pun simbah asid adalah cara untuk merompak dan merogol...

Sebagai langkah awal apabila terkena asid atau melihat orang terkena asid adalah membersihkannya dengan menggunakan air..Sebanyak-banyaknya air untuk mengurangkan kesan..untuk kupasan lebih lanjut boleh layari link ini..

Mari bersama-sama buat solat Hajat, moga penjenayah tersebut segera diberkas.. Tertangkapnya penjenayah tersebut bukanlah menandakan akan berhentinya jenayah tersebut kerana kemungkinan untuk orang lain melakukannya juga besar. Tetapi berdoalah semoga rakyat Malaysia khususnya umat Islam mendapat petunjuk dan disemaikan nilai-nilai murni. Jenayah di Malaysia terlalu banyak..Mula-mula kes rompakan, kemudian pembunuhan, kemudian kematian kanak-kanak seperti Nurin Jazlin, kemudian gadis hilang dan kini mangsa simbahan Asid....Semoga yang batil segera jatuh dan yang haq akan tertegak..Sebaik-baik penyelesaian bagi sesuatu masalah adalah hukum Allah bukan hukum makhluk-makhluk Allah..Amalkan ayat-ayat pendinding..Jaga Agama Allah, InsyaAllah Allah menjaga kita...Sesungguhnya Allahlah sebaik-baik penjaga...

Ahad, 31 Julai 2011

Ramadhan Dua Zaman(Muhasabah Bersama)




Ramadhan satu nasib tak serupa

Peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gemilang cemerlang,
Mukmin berjasa di awal zaman

Ramadhan kami malam terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah Nur al-Quran
Tapi malam kami muram berkabung dengkur

Mereka berlumba mengejar makrufat
Tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga

Salam Ramadhan...





Sedih. Teman-teman tersayang ramai yang dah pulang ke Malaysia menyambut Ramadhan dan Hari Raya bersama keluarga tersayang. Sebak. Terasa keseorangan. Diharapkan teman-teman rapat yang ada bersama disini dapat mengubat rindu kepada keluarga, tetapi kehendak Allah mengizinkan mereka pulang ke Tanah Air dan meninggalkan saya.hu...sedihnya.

Tetapi dalam kesedihan ada kegembiraan dalam menyambut Bulan yang penuh barakah ini..Terbit persoalan di dalam hati, kenapa rasa sunyi?Bukankah Allah telah memberi peluang yang gilang gemilang dengan kehadiran Ramadhan? Anugerah yang sangat besar yang tidak diberikan kepada umat Nabi-Nabi yang terdahulu?Adakah aku terlalu leka dengan manusia sehingga aku berasa begitu lemah tanpa manusia?Istighfar..Ya Allah Ampunkan Dosa Kami...

Saya mengubat hati dengan melihat keindahan dan kemeriahan penduduk Mesir dalam persediaan menyambut Bulan Ramadhan.. Terasa kerdil diri ini. Selama 23 tahun, tidak pernah menyambut Bulan ramadhan seperti mereka, tetapi menyambut seperti mereka dalam persediaan menyambut Hari Raya..Indahnya Mesir..

Saya meneman sahabat baik yang ingin membeli barang-barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Suasana di pasar dan pusat membeli belah penuh sesak. Terasa seperti membuat Haji sebab tersepit dikalangan orang-orang Mesir yang besar.(padahal tak pernah lagi pergi haji,tapi dihayati melalui cerita orang-orang yang dah haji..hehe). Alhamdulillah, sahabat saya dapat membeli semua barang yang diinginkannya. Kesesakan yang berlaku mengingatkan saya suasana ketika berada di Malaysia dalam persedian menyambut Hari Raya. Semoga Umat Islam di Malaysia khususnya, dapat mencontohi sikap penduduk Mesir yang begitu ghairah menyambut Ramadhan.

Sebenarnya banyak kisah yang ingin dikongsi maklumlah diri ni memang suka bercerita, tetapi cukuplah coretan untuk post kali ini. Sambutlah Ramdhan dengan penuh keikhlasan dan kegembiraan. Rebutlah peluang dalam bulan Barakah ini. Jika sebelum ini, hati ini penuh dengan kecintaan kepada duniawi, maka kini gantikanlah dengan kecintaan kepada Ilahi dan Nabi SAW. Jangan bersedih jika penduduk dunia meninggalkan mu, kerana Allah sentiasa disisimu. Kamu sering melupakan Allah, tetapi Allah tidak akan melupakanmu kerana rahmat Allah terlalu besar. Sesungguhnya Allah Maha pengampun dan Maha Penyayang. Rebutlah peluang ini...Ya Allah ampunkan dosaku...Semoga Ramadhan kali ini, mengubah hati yang keras ini menjadi lembut, mengubah hati yang hitam ini menjadi putih berseri, moga hati yang penuh noda ini dipenuhi dengan rahmat dan keampunan dariMu..berkenan saya untuk berkongsi satu lagu lama dari kumpulan Rabbani:
'Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka, seperti ketibaan orang yang kita cinta'

Akhir kalam, minta maaf diatas segala keterlanjuran dalam berkata-kata dan penulisan..basahkan lidah dengan zikrullah, takutlah kepada Allah, Cintailah Nabi SAW dan orang-orang yang soleh, amalkan lah segala sunnah..Semoga kita sama-sama istiqamah dalam melakukan segala kebaikan sehingga kita menghembuskan nafas yang terakhir..'Berusahalah untuk menjadi Hamba Allah yang Beruntung'..wassalam

Khamis, 2 Jun 2011

Putus asa

Hampirku berputus asa..Engkau mengingatkanku..Ya Allah..layakkah aku syurgaMu..terlalu banyak dosa yang ku lakukan..terlalu hina diri ini untuk memasuki rumah-Mu...terlalu malu untuk pergi ke taman-taman syurga-Mu...ku ingin lari..tetapi tiada destinasi yang dapat ku sembunyikan diri kerana segala-galanya milikMu...

Ya Allah...hampirku berputus asa...hati yang resah, kuhamburkan dengan kemarahan..hati yang kosong, ku isikan dengan gurauan yang melalaikan...ku melanggar suruhan-Mu tetapi Engkau segera mengingatkanku dengan kasih sayang Nabi-Mu...Ya Allah, betapa jauhnya diriku dari sunnah Kekasih-Mu...Ya Allah..menitis air mataku lagi...layakkah aku mendapat syafaat Baginda di akhirat kelak...

Ya Allah...hampirku berputus asa...ku cuba larikan diri dari ulamak, tetapi Engkau mendekatkanku dengan mereka...pandangan kasih mereka menusuk ke kalbuku sehingga ku ingin menangis lagi dan terus menangis...hampirku tewas dengan nafsuku..hampirku terpedaya dengan tipu daya Syaitan laknatullah...tetapi Engkau mengingatkan ku..

Ya Allah engkau temukan aku dengan penawar hati..penawar yang sentiasa berada bersamaku...tetapi tidak ku manfaatkan...alangkah bodohnya diri, penawar disisi tetapi racun dijalanan yang dicari..tetapi Engkau mengingatkan ku kembali....

Ya Allah...Kalam-Mu pengubat hatiku, pengubat resahku, pengubat rinduku....Ya Allah..ampunkan segala dosa-dosaku...Ya Allah peliharalah diriku dari maksiat..Ya Allah lindungilah diriku dari kecelakaan dunia dan akhirat...ya Allah jauhilah diriku dari fitnah dunia dan akhirat...Ya Allah..semoga cintaku kepada makhluk tidak melebihi cintaku kepadaMu dan RasulMu...Ya Allah matikanlah ku dengan husnul khatimah..Ya Allah semoga keredhaan dan rahmatMu sentiasa bersamaku di dunia dan di akhirat...

Sesungguhnya sifat berputus asa itu sifat syaitan..Semoga kita dapat bersama-sama menjauhi sifat itu...

Firman Allah SWT:

Katakanlah, "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri (pernah membuat salah), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (QS. az-Zumar: 53)

Mereka menjawab, "Kami menyampaikan kabar gembira kepadamu dengan benar, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang berputus asa". Ibrahim berkata, "Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat". (QS. al-Hijr : 55-56)

Wallahua3lam...

Isnin, 18 April 2011

Imtihan

Lama tak usik blog ni..jika diikutkan, terlalu banyak perkara yang hendak dikongsikan..tetapi masa terlalu mencemburui.

Alhamdulillah, terlalu cepat masa berlalu..Sekarang dah nak masuk musim panas..Rumah pun dah mula terasa bahangnya. Sedar tidak sedar, imtihan/exam semakin hampir..Kebiasaan yang berlaku bagi seorang pelajar, apabila nak imtihan, barulah rasa menyesal dengan diri kerana banyak membuang masa..Pesanan ibubapa dengan guru tidak diikuti...Bila nak exam, barulah kelam kabut nak belajar..sampai sakit-sakit kepala...Dunia dunia...terlalu asyik dengan tipu daya dunia hingga lalai dengan tanggungjawab sebagai seorang pelajar...Marilah bersama-sama kita hayati Firman Allah SWT didalam Surah An-3Asr (Masa) yang bermaksud :

"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal soleh dan nasihat menasihati supaya (menjalankan) kebenaran dan nasihat menasihati supaya sabar menghadapi kesulitan"

Keterangan ayat : semua manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman teguh dan beramal soleh serta suka berwasiat (memberi nasihat) dengan kebenaran dan kesabaran. Adapun orang yang dikatakan soleh ialah orang yang mengerjakan kewajipannya terhadap dirinya seperti menjaga kesihatan, memberi nafkah, mendidik keluarga, tolong menolong dan beramah mesra dengan masyarakat. Begitu juga terhadap Allah SWT spt mengerjakn solat, puasa dan sebagainya. Ringkasnya membawa erti, mengikut segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya..

Kalau membaca surah ini, memang mudah dengan izin Allah sebab ayatnya pendek..Tetapi kalau disuruh mengamalkannya agak susah ye..Kenapa? Sebab hati dah terpaut dengan dunia..sudah biasa bersenang lenang, sibuk dengan urusan diri sendiri, tanpa mempedulikan orang lain, mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba, anak, pelajar dan sebagainya..

Sesungguhnya 'Tanggungjawab yang kita ada lebih banyak daripada masa yang ada'. Jadi tiada masa untuk kita buang..Tetapi kenapa masih membuang masa? Kerana kita telah berfikir yang sebaliknya.'Masa lebih banyak daripada tanggungjawab'. Itulah salah satu sebab mengapa ramai yang suka membuang masa. Maka marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri.. Perbetulkan mind setting kita. Jangan biasakan dengan perkara biasa tetapi biasakanlah dengan perkara mahmudah yang kita tidak biasa..Mintak maaf diatas segala salah dan silap, keterlanjuran dalam penulisan..Segala yang baik datangnya daripada Allah SWT..doakn kejayaan saya..semoga kita bersama-sama berjaya, bukan sahaja berjaya dalam imtihan dunia malah imtihan akhirat juga..wassalam...

Ahad, 13 Februari 2011

Budi Bahasa..dan Tanggungjawab Kita


Petang tadi temankan Kak Lang balik ke rumah dia..Tolong jagakan anak dia sebab Kak Lang nak drive. Cadangnya lepas ke rumah Kak Lang hendak ke Melaka. Nak ambil letop Bang Tam dekat sedara. Tapi tak jadi. Sebab abang sedara tu takde di rumah. So balik lah rumah. Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya, mak, Bang Tam dan wife die berhenti lah makan di satu kedai makan. Sedap makanan disini. Kalau lalu mesti rasa nak singgah.

Sebelum makan, saya dan kakak ipar pergi ke tandas awam yang disediakan. Ada satu benda yang menarik perhatian saya dihadapan tandas awam tersebut. Biasalah, memang ada peringatan-peringatan untuk penggunanya. Jaga kebersihan. Tetapi buat pertama kali saya lihat (mungkin orang lain dah banyak kali jumpa) peringatan yang agak keras jugaklah. Bunyinya begini "Hanya Anjing Dan Babi Sahaja Yang Tidak Kenal Tong Sampah'.

Wah! Dasyat jugak sindirannya. Terbayang di fikiran betapa marahnya penulis tersebut kepada pengguna-pengguna yang tidak bertanggungjawab. Ya, penulis tersebut mungkin terlalu marah. Marah dengan sikap pengotor pengguna. Pengguna yang membuang sampah merata-rata. Segala jenis sampah dan kekotoranlah. Dibuang bukan pada tempatnya.

Tetapi bagi saya, bagaimana terlalu marah pun kita, cubalah kawal. Janganlah menggunakan bahasa yang agak keras. Budi bahasa itu budaya kita. Ia menjadi tontonan umum. Bukan golongan dewasa sahaja menggunakan tandas tersebut tetapi semua golongan. Golongan tua, muda, kanak-kanak. Kita tidak mahu penggunaan bahasa sebegini di aplikasikan oleh mereka yang membacanya. Lebih-lebih lagi kanak-kanak. Jika kita lihat, filem-filem Melayu pun banyak yang menggunakan bahasa-bahasa kesat.

Kanak-kanak yang bagai kain putih ini, mudah sangat terpengaruh. Terlalu cepat melekat di kepala. Teringat saya kata-kata seorang penceramah, benda jahat ni mudah betul dipelajari dan di aplikasikan. Sekali ajar je, senang je dapat. Tetapi kalau benda baik ni, ajar banyak kali pun, bukan setakat diamalkan, nak ingat pun susah. Kenapa ye? Kerana perkara yang jahat, adalah sesuatu yang disukai nafsu. Kalau dah suka, apa-apa pun kita sanggup nak buat agar tercapai apa yang kita inginkan. Tetapi perkara baik ini, terlalu banyak yang menghalang. Nafsu, syaitan, manusia bertopengkan syaitan. Terlalu banyak musuh. Maka memang hebatlah mereka yang dapat menempuhi halangan-halangan tersebut.

Berbalik kepada cerita tadi, saya tidak menyalahkan penulis itu sahaja, tetapi juga kepada pengguna-pengguna terutama yang beragama Islam. Islam itukan sukakan kebersihan. Kadang-kadang rasa sedih jugak bila melihat tandas-tandas surau atau masjid yang kotor. Memanglah tandas tempat kotor, tetapi janganlah kita pun jadi pengotor dan menambah kekotorannya. Kadang-kadang timbul perasaan risau apabila mengenangkan jika ada orang bukan Islam yang menggunakan tandas-tandas Surau atau Masjid. Bimbang jika mereka menganggap orang Islam ini pengotor. Tempat ibadat pun boleh kotor.

Jadi marilah kita bersama-sama meringankan tulang dan memperingatkan antara satu sama lain. Saya teringat kata-kata seorang Mak cik,' jika kita berasa kita ini hebat, pergilah cuci tempat yang kotor seperti tandas. Kemudian kamu akan tahu betapa rendahnya diri kamu.' Kenapa boleh rasa macam tu ye? Nak tahu? Pergilah cuci tandas..hehe..Minta maaf andai terkasar bahasa. Mari kita tingkatkan budi bahasa kita, dan kita perindahkan lagi akhlak kita. Sesungguhnya kita ini mudah lupa, jadi marilah kita saling ingat-mengingati..Semoga kita menjadi seorang Hamba Allah yang pembersih, bukan setakat bersih badan, pakaian dan persekitaran sahaja tetapi yang paling utama adalah kebersihan hati kita..Sekian...



Khamis, 10 Februari 2011

Tahniah Rakyat Mesir..




Alhamdulillah..tidak dapat digambarkan betapa gembiranya hati ini apabila diumumkan perletakan jawatan Perdana Menteri Mesir Husni Mubarak...Tidak dapat saya bayangkan bagaimana gembiranya rakyat Mesir dengan berita tersebut..SubhanAllah..Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan Maha Penyayang..

Tahniah rakyat Mesir..Kalian menjadi sumber inspirasi buat kami..Yang Benar pasti akan menang..Walaupun hanya setahun lebih saya tinggal di Mesir, tetapi terlalu banyak perkara yang membuatkan hati ini sayu dan kagum dengan kehidupan di Mesir..Berasa sayu apabila melihat kemiskinan mereka, peminta sedeqah yang terlalu ramai. Sedangkan pemimpin mereka merupakan Manusia terkaya di dunia. Siapa yang tidak tersentuh apabila melihat anak-anak kecil berkejar-kejaran untuk meminta sesuatu untuk mengalas perut.. Ya Allah..

Walaupun sering kedengaran cerita berkaitan keganasan kalian, kekasaran tingkah laku kalian, cerita-cerita buruk berkenaan kalian, tetapi yang sering ku dengar dari kalian hanya memuji dan kagum dengan pelajar-pelajar kami. Di dalam kekasaran warga Mesir, tetapi hati mereka lembut. Bila bergaduh bagai tak sedar diri, tetapi sifat mudah memaafkan sangat tebal dalam diri mereka. Apabila berbaik melebihi saudara sendiri. Siapakah yang tidak kagum dengan kegagahan kalian. Samada lelaki mahupun perempuan. Tidak salah jika saya mengatakan kekuatan kaum wanita Mesir seperti kekuatan kaum lelaki kita. Walaupun hidup mereka terlalu banyak kekurangan, tetapi mereka tidak pernah mempamerkan keresahan mereka.

Walaupun ramai yang sering mengatakan Mesir kotor dengan sampah sarap, najis-najis khimar, ish yang terbiar di koridor jalan, tetapi yang paling penting makanan mereka terpelihara kesuciannya daripada tempat yang bersih, makanan yang nampak bersih tetapi isi kandungannya dipenuhi kandungan-kandungan yang haram dan terlalu banyak yang syubhah.

Setelah 30 tahun ditindas, Alhamdulillah akhirnya rakyat Mesir bersatu. Tahrir menjadi saksi kesatuan mereka.'TAHRIR bermaksud 'pembebasan'.di situ segala-galanya bermula. Membebaskan segala kesabaran yang sekian lama ditahan seterusnya membentuk pembebasan rakyat dari gelap kezaliman.' ketika rusuhan dan diumumkan perintah berkurung, saya terbayang kehidupan rakyat Palestin. Hidup dalam penindasan dan kezaliman Zionis Israel.

Berasa agak terkilan juga kerana tidak dapat menyertai demontrasi mereka. Berasa bersalah juga, ketika mereka sedang menuntut keadilan, kita lari menyelamatkan diri, Saya berasa seperti seorang yang mementingkan diri sendiri. Tetapi perjuangan kami di sini. Hanya doa menjadi pengganti kami. Allah sebaik-baik perancang. Rakyat Mesir telah mempamerkan bagaimana kehidupan para sahabat ketika berjuang menegakkan Islam dan kebenaran. Bukan harta, pakaian, senjata yang menjadi penentu kejayaan, tetapi ketaqwaan, keimanan dan keyakinan bahawa kebenaran pasti akan menang..

Bersama-samalah kita berdoa..Saya tertarik untuk berkongsi kata-kata Ustaz AzmanSyah, "TIDAK PERLULAH LISAN MENCELA MUBARAK LEBIH DARI YANG HAK.SERAHKAN PADA ALLAH TENTANG URUSANNYA. JADILAH MANUSIA YANG ADIL.KITA DOAKAN AGAR DIA MENDAPAT PETUNJUK DAN KEBAIKAN.BEGITU JUGA KEBAIKAN UNTUK MESIR DAN SELURUH RAKYATNYA.PERLETAKAN JAWATANNYA BUKAN JAMINAN MUTLAK UNTUK KEAMANAN.MAKA PANJATKAN DOA."

Terima kasih kepada yang pernah membantu diriku..Terima Kasih kepada yang mengambil berat tentang diriku..Terima kasih kepada yang menjaga diriku. Terima kasih kepada yang sudi menjadikan diriku seperti keluarga ketika keluargaku jauh dari sampingku. Kehadiran kalian, mengubati rinduku kepada keluarga. kehadiran kalian, menceriakan hidupku. Kehadiran kalian, membangkitkan semangatku. kehadiran kalian, menjadi kenangan yang manis dalam hidupku. Uhibbukum Fillah..Semoga Allah menempatkan kalian di sebaik-baik tempat di akhirat kelak.Ya Allah ampunilah dosaku, dosa kedua ibu bapa ku, keluargaku, guru-guru ku, sahabat2ku, orang2 yang pernah ku zalimi, orang2 yang mendoakan diriku, orang2 yang menyayangi diruku, dan seluruh umat Islam..Sesungguhnya Engkau Ya Allah Maha Pengampun.