Rabu, 23 Mei 2012

لا يكلف الله نفسا إلا وسعها - سورة البقرة

Rasa rindu sangat di Malaysia..Teman-teman ramai yang dah habis peperiksaan. Seronok mereka. Masa untuk berehat selepas bermujahadah panjang. Pesanan untuk diri dan sahabat, jangan rehat dalam kelalaian. Perjalanan kita masih panjang. Ujian kita tidak terhenti disini. Masih banyak yang kita perlu tempuh. Hidup didunia ini tiada masa untuk berehat. Kerna terlalu banyak tanggungjawab. Pengrehatan yang sebenar adalah di syurga abadi.


InsyaAllah, Saya akan menempuh peperiksaan pada bulan 6 ini. Takut jugak tapi tak boleh takut sebab kita perlu tempuh. Saya mohon doa dari kalian. Semoga saya dan sahabat-sahabat seperjuangan najah(berjaya). Bila nak periksa ni, mulalah hati kacau. Rasa sebak tetiba. Rasa takut. Gambaran akan kegagalan tu mula terbayang di fikiran. Tetapi hati jadi terubat apabila seorang sahabat menegur,"belum berjuang lagi dah mengaku kalah?". Terdiam saya seketika. Betul. Kenapa saya perlu takut? Kenapa saya memikirkan perkara yang bukan-bukan? Apabila kita fikirkan perkara yang negatif, kita pasti berasa putus asa. Bukankah putus asa itu sikap Syaitan Laknatullah? Bukankah Syaitan itu berputus asa dengan rahmat Allah? Ya Allah..Peliharalah hatiku dan sahabat-sahabat ku dari perasaan berputus asa. Putus asa bukan sifat orang Mukmin. Syukran Jazilan kepada sahabat saya yang menegur saya. Saya rindukan teguran. Bukankah teguran itu tanda sayang? 

Kadang-kadang hati ni jadi rindu pada guru-guru terutama guru-guru di ITQAN. Terlalu rindu dengan tarbiah. Pahitnya menerima teguran ketika di ITQAN, tetapi itulah yang menjadi pengubat hati..Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru saya yang tersayang terutama Ustazah Atikah. Sayang Ustazah. Kadang-kadang saya terfikir, kenapa saya dan sahabat saya dipandang baik oleh adik-adik dan sahabat-sahabat ketika di Itqan dulu? Sedangkan saya sering buat masalah. Akhirnya saya tahu, kerana mereka menghormati guru Quran saya. Guru yang Solehah. Mungkin disebabkan keberkatan Ustazahlah, saya dan sahabat yang lain dipandang hormat. Terima kasih Ustazah.  Tidak Lupa juga saya kepada guru yang sangat saya segani, Ustaz Amiza. Terima kasih  kerana tidak jemu mentarbiyah saya dan sahabat sahabat. Hargailah guru anda.

Disebabkan hati yang sedang berkecamuk, saya pun bersama seorang teman sering ke masjid. Alhamdulillah. Hati jadi tenang. Tempat yang paling tenang pastilah rumah Allah. Yang ingin saya ceritakan adalah berkenaan orang-orang tua yang saya bertemu di Masjid. SubhanAllah. Saya bagai ternampak ciri-ciri calon wanita Syurga pada mereka. Teringat saya ketika terserempak dengan seorang nenek di tempat mengambil wudhuk. SubhanAllah. Cantik nya muka die. Walaupun mukanya telah dimamah usia, tetapi sedapnya mata memandang. Terlalu berseri. Kemudian saya perhatikan tingkah lakunya di Masjid. Beliau solat sunat berulang kali. Memang menjadi amalan orang-orang tua disini yang sangat suka bersolat sunat. Walaupun kaki sakit, sudah terlalu tua, tetapi solat sunat nya tak pernah tinggal. Beralih mata saya kepada makcik yang tadi, seusai solat, saya melihat beliau tidak berhenti berzikir. Nampak tenang. 

Mata saya beralih kepada seorang nenek. Nenek yang sangat murah dengan senyuman. Setiap hari saya pergi pasti nenek itu ada. Saya suka tengok muka beliau. Gigi beliau dah tiada. Comel. Bila berbual, kadang-kadang saya tak dapat tangkap kata-kata nya. Tetapi yang buat saya kagum adalah cara beliau menjaga hafalan Al-Quran. Usianya sudah hampir 70 tahun. Saya melihat  ramai anak-anak muda yang bertalaqqi Al-Quran dengan beliau. Sepanjang masa beliau mengaji. Kuat sungguh ingatan hafalannya. Apabila berbual, saya bermain dengan kulit nya yang sudah kendur. Memang saya suka main dengan kulit makcik-makcik yang dah tua sewaktu di Malaysia, sebab comel. Rindu dengan wan-wan di kampung. 

Bila pandang kulit mereka, kita akan beringat bahawa kita juga akan menjadi macam tu. Tiba-tiba teringat seorang teman yang sakit kulit. Tabah nya beliau. Semoga beliau cepat sembuh dan diberi sebesar-besar ganjaran di atas kesabaran beliau. Semoga beliau cepat sembuh.  Pesanan untuk diri, Segala yang kita miliki ini tidak kekal. Jadi kenapa perlu bangga dengan kecantikan yang tidak kekal? Yang paling utama adalah usaha kita untuk mengekalkan iman dan akhlak kita. Memperbaiki akhlak sedikit demi sedikit. Apabila melihat susah payah orang-orang tua ini beribadah, hati rasa bersyukur kerana usia masih muda. Jika mereka yang sudah terlalu uzur pun masih mampu membuat ibadah sebanyak-banyak nya, kenapa tidak kita? Kita sepatutnya lebih berkali-kali ganda beribadah berbanding mereka. 

Kadang-kadang bila melihat wajah mereka yang nampak tenang, tergambar saya liku-liku hidup yang mereka lalui. Pasti ujian mereka tidak kurang hebatnya. Siapa tahu, mereka yang kita nampak tenang, tetapi memikul ujian yang tersangat berat.. Semoga dipermudahkan. Semoga tabah dan sentiasa dibawah rahmat Allah. Kembalilah kepada Allah. Jadikan manusia tempat kedua untuk kita mengadu selepas Allah. Teringat saya, peringatan seorang sahabat, 'Solat adalah terapi yang terbaik'. Bersangka baiklah kepada Allah. Allah tidak menjadikan segala sesuatu itu sia-sia. Pasti ada hikmah. Bersangka baiklah dengan Allah. Disebalik kesengsaraan yang kita lalui, ada insan yang sedang diuji lebih hebat dari kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki sekarang.
Saya kongsikan kata-kata ini buat diri insan-insan yang tersayang...:

"Temanku, Aku bangga melihatmu derita dalam perjuangan…Dari melihatmu gembira dalam kelalaian…
Temanku, Aku bangga mendengar tangisanmu kerana pengorbanan…Dari melihat tawamu dalam pengkhianatan… 
Temanku Aku bangga andai dikau mati di medan kebenaran…Dari hidup dalam kesesatan
Kerana jangan lupa Temanku…
Muliamu bukan pada pangkat, harta dan rupa Tapi kerana Islam, Iman dan Ihsan…"

(Minta maaf diatas segala keterlanjuran kata-kata, perbuatan dan penulisan. Saya mengalu-alukan sebarang teguran dan perkongsian atau nasihat-nasihat dari sahabat-sahabat sekalian..Terima Kasih =))

Jumaat, 18 Mei 2012

Hidayah Allah

Taufiq dan hidayah Allah tidak mengira siapa, bila dan dimana. Terkejut apabila membaca pengalaman Seorang Pelakon Yatt Hamzah. Terbayang keadaannya ketika itu. Hikmahnya terlalu besar sehingga beliau terpilih untuk melalui pengalaman sebegitu. Gambaran siksaan ahli neraka yang pasti menjadi kesan yang amat mendalam dalam hatinya. Semoga beliau istiqamah di dalam kebaikan. Adalah tidak mustahil seorang yang sentiasa bergelumang dengan dosa akan menjadi pejuang Islam yang tersohor. Oleh itu, pandanglah setiap orang dengan pandangan rahmat. Bencilah dosa, jangan memebenci Pendosa. Kerana peluang taubat masih terbuka. Kita ikuti kisah yang dilalui beliau. Semoga kita sentiasa di bawah rahmat Allah dan dijauhkan daripada segala kemungkaran sehingga ke penghujung nyawa.

“Yatt menangis sambil menggigil ketakutan menyaksikan azab yang diterima wanita tidak menutup aurat.”
Sebelum itu dia bersama rakan menghadiri usrah pada 5 April lalu. Usrah itu berjaya menimbulkan keinsafan dirinya kerana sering mangabaikan solat selain mendedahkan aurat semata-mata mengejar glamour sebagai artis popular.
“Setiba di rumah pada petang itu Yatt terus buat solat taubat.”
Peliknya, kata Yatt, ketika dia melakukan sujud terakhir kepalanya tidak dapat diangkat. Mau tak mau, kata Yatt lagi, dia terus sujud memohon keampunan Allah sambil menangis.
Dalam sujud yang panjang itulah Yatt nampak jelas wanita yang mendedahkan aurat diseksa Allah di neraka.
Tangisan Yatt makin kuat melihat gambaran neraka yang amat mengerikan itu.

“Yatt nampak semua wanita itu digantung rambutnya pada api neraka.”
“Semua wanita itu meraung minta Allah kembalikan mereka ke dunia untuk bertaubat dan memakai tudung.”
Malam itu kata Yatt, dia tertidur di atas sejadah yang dibaluti telekung hingga ke subuh.
Semoga wanita-wanita Islam yang masih belum menutup aurat, akan kuat untuk berhijrah. Hijrah dari satu keburukan kepada suatu kebaikan pasti menempuh pelbagai dugaan. Semoga Allah kuatkan. Pasti masih ramai yang mencari-cari sumber kekuatan. Carilah kekuatan daripada Allah. Carilah sahabat yang baik. Bagaimana nak mencari sahabat yang baik? Carilah sahabat yang cintakan majlis Ilmu Allah. Semoga kita juga akan menjadi pencinta ilmu Allah. Carilah sahabat yang cintakan kebaikan. Cintakan Masjid, Cintakan Dakwah. Pasti serba sedikit kita akan dapat kebaikan dan mampu menjadi lebih baik daripadanya. Mari kita bersama-sama berusaha untuk menutup aurat sedikit demi sedikit. Apakah maksud aurat? Dari sudut bahasanya adalah anggota yang ditutup oleh seorang insan kerana MALU. Dari sudut istilah Fuqaha, adalah setiap anggota yang dituntut oleh syarak iaitu wajib ditutup dihadapan orang lain kecuali yang Mahram. Berkenan saya kongsikan kata-kata Hilal Asyraf :

Antara ciri bidadari dunia adalah malu.
Dengan malu itulah dia menjadi mahal.
Auratnya kan tidak terdedah murah,
Prinsipnya kan kuat tidak tergugah,
akhlaknya kan sopan tidak mudah berubah.
Kerana malu yang mengikat,
membuatkan seorang perempuan itu menjadi hebat.

Selamat BerMujahadah!!

Rabu, 16 Mei 2012

Belajar dan terus Belajar

Alhamdulillah..pada hari jumaat yang lepas bersamaan 11hb 5, saya sempat bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan di Bait Anis. Rasa rindu sangat dengan kawan-kawan sekelas. Akhirnya dapat juga bersua muka pada majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin untuk peperiksaan Akhir Syahadah Takhassus Qiraat...Terubat rindu bila lihat wajah-wajah bersih sahabat-sahabat yang pastinya bermujahadah siang dan malam untuk peperiksaan ini..ya.Ukhwah itu indah. Daripada Ukhwah kita akan merasai erti kasih sayang, pengorbanan, kemesraan dan kekuatan..Hati jadi semangat bila melihat wajah kawan-kawan. Walaupun mulut tidak berbicara, tetapi wajah-wajah mereka telah cukup untuk berbicara. Indahnya Ukhwah.

Disini saya ingin selitkan sedikit ilmu yang saya peroleh ketika majlis. Semoga kita sama-sama dapat manfaat.
Dalam melakukan Apa-apa perkara, yang paling utama adalah Niat. Buruk niat kita, buruk lah kesannya. Begitu juga sebaliknya. Jadi dalam menuntut ilmu, kita juga perlu untuk berniat.

Niat pertama dalam menuntut ilmu adalah untuk menambahkan Ketaqwaan kita Kepada Allah SWT. Apabila bertambah Ilmu, semakin bertambah sifat ketawadhukkan(rendah diri) di dalam diri. Bak kata pepatah, jadilah seperti padi, semakin berisi, semakin menunduk ke bumi, jangan jadi seperti lalang, tiada isi tetapi semakin tinggi.

Keduanya, niat dalam menuntut ilmu adalah untuk menghilangkan kejahilan di dalam diri. Kita semua adalah jahil. Seorang doktor ke, professor ke, ustaz ke, asalanya adalah kosong. Tetapi kerana kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu, akhirnya mereka mampu untuk berdiri dimana mereka berdiri sekarang. 
 
Ketiganya niat menuntut ilmu ini adalah untuk menyebarkan Agama Allah. Tanggungjawab setiap individu muslim adalah menyebarkan agama Allah SWT. Ingin saya selitkan Kata-kata Imam Syafi'e "Sesiapa yang hendak kepada dunia maka hendaklah dia mencari ilmu dan siapa berkehendak kepada akhirat, juga hendaklah dia mencari ilmu."..Ilmu terlalu penting samada melibatkan urusan dunia atau akhirat..Maka pilihlah menuntut ilmu untuk akhirat kerana dunia akan kita dapat sekali..ikhlaskan niat..Tidak kira berapa umur kita, belajarlah dan pilihlah kawan yang baik. Kadang kala sahabat ini menjadi asbab untuk kita berubah. Kita boleh lihat melalui pengalaman Ustaz Azhar Idrus.

Akhir kalam, ditengah-tengah musim peperiksaan ini, pasti ramai yang stress dan pelbagai dugaan yang Allah bagi. Ada yang putus bercinta, sahabat berubah perangai, orang-orang yang tersayang meninggal dunia, jadi untuk menguatkan hati, lazimilah zikrullah..InsyaAllah, walaupun seluruh dunia meninggalkan kita, Allah tetap bersama kita, itu yang paling bermakna..yang kita takuti, jika seluruh dunia bersama kita, tetapi Allah jauh kita tinggalkan, itulah manusia yang paling rugi..Oleh itu mari kita bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
 
 Imam Syafi'e berkata, ''Insan yang paling tinggi darjatnya adalah orang yang tidak melihat darjatnya dan insan yang paling mulia adalah insan yang tidak melihat kemuliaannya.'